Friday, April 1, 2016

Lensa Herbarium

Pada catatan lalu ada dinyatakan hasrat untuk berbagi pengalaman saya dan sahabat, Muhammad Imran yang telah beberapa kali menelusuri Taman Herba Universiti Kebangsaan Malaysia (THUKM) dan kawasan-kawasan lain di dalam kampus UKM amnya melalui rakaman foto, ke dada blog bertuah ini. Namun 31 daripada foto-foto simpanan tersebut telahpun dimuat naik ke laman Pinterest (di bawah "Board" bertajuk: UKM through Nature) yang baharu sahaja didaftar. Justeru, pelawat yang budiman sekalian bolehlah bertandang ke laman tersebut pada satu pos baharu selepas ini. 

Sementara itu, foto-foto yang berbaki telah dimuat naik ke dada pos kali ini, sekadar berbagi pengalaman yang kerdil daripada insan yang amat meminati alam, malah diharapkan juga (mungkin) mampu menginspirasikan pengetahuan dan melakar imaginasi yang tidak berbatas sambil menghayati kehalusan ciptaan Tuhan yang tidak tertanding. 






























Saturday, October 11, 2014

Coretan Herbarium (Eksposisi)

Reka letak dan manipulasi aksara, rupa, bentuk dan tona warna. Hanya pada dada Microsoft PowerPoint sahaja yang mampu dikerjakan kerana ketiadaan perisian Adobe Photoshop. Alhamdulillah. Penjejakan di ujana malar hijau ini entah sudah masuk kali ke berapa, namun tidak pernah menjemukan. Sang Culicidae, penghisap darah berterbangan itu bukan lagi masalah buat kami. Ujana herba kini kelihatan lebih sistematis dan approachable. Insya Allah dalam pos yang akan datang, saya akan kongsikan pengalaman terbaharu di herbarium ini yang boleh saya temakan sebagai suatu penjelajahan ilmu dan kehidupan. Bagi saya, disinilah sumur inspirasi. Di setiap sudutnya sangat meralitkan, memantul ketenangan bagi sukma dan fikiran. Ya, nikmat udara terdeflogiston juga ternyata lebih mendamaikan. Apatah lagi "ilmu" di sini yang bagaikan terlentang di hamparan. 


Moga Allah permudahkan kesinambungan pos kali ini seperti yang dirancang. Dan semoga banyak juga manfaat yang dapat kita saling berbagi di perlak penulisan ini. 

Allahua'lam.

Thursday, October 9, 2014

Buku Baharu PTSL UKM

بسم الله الرحمن الرحيم

Bagi pencinta biologi tumbuhan dan entomologi (kaji serangga), saya rasa dua buah buku ini (lihat gambar) anda perlu dapatkan segera di Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) yang kini masih dikategorikan sebagai naskhah baharu sehingga penghujung tahun ini (31 Disember 2014).

Naskhah botani tersebut merupakan terbitan Universiti Sains Malaysia pada September 2011 atas usaha untuk menyingkap sejarah penyelidikan dan kerja lapangan aroid (tumbuhan dalam famili Araceae) khusus di semenanjung Malaysia, menyelami ekologi dan bentukkan kehidupan aroid secara liar dan tanaman, pemerihalan taksonomi aroid di peringkat famili, menyediakan panduan (kekunci) pengecaman aroid ke peringkat taksonomi yang lebih rendah (hingga ke peringkat spesies) dan melampirkan senarai semak aroid yang telah dikelaskan sebelum ini. Hal ini menjadi data rujukan penting dalam kerja-kerja inventori dan proses pengenalan taksa baharu dalam family Araceae. Selain di Malaysia, buku ini juga telah diedarkan di Amerika Syarikat melalui Persatuan Aroid Antarabangsa (IAS) dengan kerjasama salah seorang penulisnya, Peter C. Boyce. Perkaitan rentas sempadan (biogeografi) antara aroid di semenanjung Malaysia dengan Borneo, Sumatera dan selatan Thai juga ada di bincangkan secara ringkas di dalam buku ini (lihat gambar peta).


Reka grafik muka depan kulit lembut bagi buku kekunci taksonomi Araceae


Ikhtisar kandungan buku secara umum yang memperkenalkan famili Araceae


Araceae di alam biogeografi semenanjung Malaysia:yang dikenalpasti setakat ini: kekerabatan rentas sempadan (semenanjung Malaysia - selatan Thai - Sumatera - Borneo) melalui penspesiesan, keendemikan (kesan kepulauan) dan habitat terkhusus (tebing sungai pasang surut, substrat batu kapur) 


Salah satu ulasan bergambar (foto) bagi pemerihalan Alocasia spp. yang kaya variasi terutama pada bentuk bilah daun dan tanda corak di atas daun. Foto juga menunjukkan bahagian pada Alocasia yang mengalami perbungaan (inflorescence) dan perbuahan (infructescence)


Pencinta parasitologi serangga pasti meminati buku ini (lihat gambar) yang telah diterbitkan oleh Universiti Malaya pada tahun 2012 yang mengkhaskan subjeknya kepada beberapa genus nyamuk di semenanjung Malaysia. Ikhtisarnya, kedudukan semenanjung Malaysia yang menjadi tumpuan kepelbagaian flora dan fauna turut dihuni kepelbagaian spesies nyamuk yang dianggap antara terpenting di dunia bagi tujuan kajian dalam lapangan perubatan. Justeru, dengan bantuan ilustrasi morfologi nyamuk dewasa yang diperihalkan secara terperinci, pembaca dapat dipandu untuk mengenalpasti beberapa spesies nyamuk dengan mudah melalui kekunci bergambar yang telah disediakan. Apatah lagi ilustrasi morfologi nyamuk tersebut telah dicerakinkan mengikut bahagian antena, kepala, toraks, sayap, abdomen dan kaki agar pengecaman secara jitu dapat dilakukan. Nyamuk betina AnophelesCulex, Armigeres, Aedes, Lutzia, dan Mansonia  adalah antara genus yang diperihalkan morfologinya per se.  


 Reka grafik muka depan buku terbitan UM Press ini


Pengenalan morfologi nyamuk dewasa secara keseluruhan

A ]
[ B ]

Gambar [A] dan [B] memaparkan perincian urat dan pola urat lintang pada sayap Anopheles betina


Semoga kita memperoleh manfaat daripada buku-buku ini. Insya Allah.

Selamat membaca. 



Bingkisan di Aidiladha 1435H

Alhamdulillah. Syukur yang ketidakterhinggan dipanjatkan ke hadrat ilahi yang masih mengizinkan jari-jemari saya memadah sepatah dua di dada sesawang ini. Keberadaan kita dalam hari-hari tasyrik, yakni 11, 12 dan 13 Zulhijjah menyaksikan semalam merupakan tanggal eiduladha buat semua umat Islam di seantero dunia. Peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang diwahyukan oleh Allah supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. acap menjadi motif ulangan di persada ceramah di surau-surau dan masjid. Namun penyampaian yang lebih segar dapat saya nikmati tatkala bertandang ke Surau An-Nur di perbukitan KIY pada khamis lepas. Alhamdulillah, kiranya sisa-sisa masa dalam luang transisi Maghrib-Isyak itu tidak dipersia sewenangnya. Berbagi sepenuh yang termampu, kesetiaan yang tidak berbelah terhadap wahyu Tuhannya sehingga tidak lagi memiliki rasa wujud diri menjadi simbol ketinggian tauhid yang perlu diteladani dan menjadi teras ultimatum dalam kembali memperkasakan umat Islam masa kini. Ya, satu penjiwaan yang sukar dimalarkan oleh kita sebagai insan yang penuh kealpaan. Korban yang dimanifestasikan sayugia bukan hanya digahkan sebagai suatu simbolik semata-mata bahkan perlu lebih pragmatik dengan memangkas segala kurtosis kemaksiatan yang pernah dilakukan sebelum ini. Justeru, mudah-mudahan Allah mengizinkan eiduladha kali ini menjadi titik tolak dalam usaha kita untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dari hari ke hari, di samping usia yang semakin menokok dan ajal yang sudah pasti menghampiri. Allahua’lam.


*Secebis nota yang tertaip pada 6/10 dan tertangguh dan akhirnya diizinkan sempurna pada 9/10]...



Friday, August 1, 2014

Mesut Kurtis - Rouhi Fidak | مسعود كُرتِس - روحي فداك



Pada malam-malam Ramadhan yang lalu, usai sahaja berterawih dan witir, saya gemar menghabiskan masa menelaah makalah untuk menyempurnakan penulisan disertasi yang saya kira masih kelihatan kelompangan isi apatah lagi dari aspek analisisnya yang masih berbekalkan paparan data mentah. Mengimbangi tekanan yang menyelubung ketika itu, gelintar kawalan anjakan impuls merentas bebulir mielin dan nodus-nodus Ranvier akhirnya menemukan saya dengan video di atas. Ya, beliau ialah Mas'ud Kurtis, kelahiran Skopje bumi Macedonia yang berketurunan Albania dan Turki. Bernaung di bawah label Awakening Records bersama Maher Zain, Hamza Nemira, Irfan Makki, Raef dan lain-lain, ternyata vokalnya mengunjurkan kelainan yang lebih tenang untuk didengar dan dihayati, lebih-lebih lagi untuk lagu di atas (Rouhi Fidak: My Soul, I Would Sacrifice For You). Ya, selain melodi dan kelunakan latunan vokal, pelbagai ibrah yang dapat dipencilkan daripada lagu ini. Antaranya ialah, menghambat kesenangan dunia semata-mata tidak pernah mengekstrapolasikan ketenangan rohani di dalam diri seorang insan. Sebaliknya hati seorang insan hanya menjadi regresif, tidak berkadar langsung dengan keamatan jasmani dan duniawi yang dikecapinya.  Hanya dengan kembali mentaati perintah Allah dan Rasulullah dapat mengembalikan sinar rohani yang mudah-mudahan diizinkan menjadi wahdah untuk terus melangkah di jalan yang lurus. Saya kira sehingga saat ini, sudah lebih dua puluh kali lagu ini dimainkan di dalam komputer riba saya. Melampaukah? Sengih sahajalah. :)


Secangkir foto beliau yang diambil dari laman sosial Facebook (https://www.facebook.com/MesutKurtis), sekadar paparan bagi mengakhiri ujana penulisan kali ini. 

Thursday, June 19, 2014

Si Macaque dan Varsiti

Berbicara berkenaan Macaque, rata-rata mahasiswa/i di kampus UKM, Bangi mempunyai pengalaman tersendiri dengan primat tersebut lebih-lebih lagi dengan si kera, Macaca fascicularis. Dihambat semasa berjalan kaki atau menunggang motorsikal, bilik diselongkar, tong sampah yang terburai isinya di koridor bangunan, bungkusan makanan dirampas dan barangkali digigit adalah antara pengalaman yang mungkin dialami. Populasi kera dilihat lebih dominan malah anda mampu melihat mereka sepanjang hari terutamanya pada awal pagi dan lewat petang. Sudah pastinya mereka akan muncul secara rawak dari dedahan angsana (Pterocarpus indicus) yang banyak berdirian di sekitar kolej-kolej kediaman dan juga dari pinggiran hutan di sekeliling kampus. Justeru, kadar interaksi yang berlaku antara haiwan tersebut dengan manusia adalah lebih tinggi berbanding saudara-saudaranya yang lain seperti beruk (Macaca nemestrina), lutong kokah (Presbytis siamensis siamensis), lutong kelabu (Trachypithecus cristatus) dan lutong celak (Trachypithecus obscurus) yang lebih bersifat kedalaman seperti di kawasan kompleks makmal bioteknologi tumbuhan, perumahan Bukit Puteri dan hutan simpan kekal UKM.   





Konflik antara manusia dengan primat di kampus UKM, Bangi telah dikaji oleh Prof. Dr. Badrul Munir Md. Zain dan rakan-rakan beliau menerusi kaedah tinjauan dan soal selidik. Kertas beliau ini baru sahaja diterbitkan dalam jurnal Pertanika pada awal tahun ini (Januari 2014). Saya ada mengepilkan ikhtisar kajian tersebut di perlak pos ini, namun untuk makalah penuh, saudara-saudari boleh ke pautan ini

Seperti semut putih atau anai-anai, pelbagai perkara dapat dipelajari daripada nuansa sosiobiologi yang telah Allah tetapkan pada haiwan-haiwan ini. Hal ini ada dibincangkan di dalam makalah Hadhari 4(1): 2010, hasil kajian dan penelitian Prof. Dr. Badrul Munir Md. Zain (pensyarah PPSSSA, FST, UKM) dan Farhani Ruslin, terhadap nilai-nilai kekeluargaan dalam populasi lutong kelabu (Trachypithecus cristatus). Ikhtisar kajian ada disertakan di laman pos ini sebagai informasi langsung, manakala untuk isi makalah yang penuh bolehlah dicapai pada pautan ini




Sekian sahaja untuk kali ini. Semoga apa yang dipenakan di dada pos kali ini bermanfaat. Insya Allah. 


Bingkisan di Ambang Ramadhan

Tanggal 29 Jun ini bakal menjadi permulaan bagi sahabat baik kita, Ramadhan. Ya, setahun sekali sahabat kita itu menjengah. Kitaran jengahan itu berterusan, sehingga tibanya janji Tuhan, janji yang sekonyong-konyong sahaja menerpa, walhal kita sayugia sentiasa berwaspada melangkah di dalam setiap masa dan ketika, di setiap ekspirasi nafas yang masih berbaki, di ujana akhir usia ini. Menahan tengkolok dan epitelium esofagus dari kandungan dihidrogen oksida sahaja masih tidak cukup. Apakah hanya itu yang menjadi ukuran dalam menyambut dan merenangi ruang Ramadhan yang hanya empat minggu itu? Pemergiannya merengsakan. Malah kehadirannya juga kadangkala menyingkap linangan. Meragui apakah atmanya masih diizinkan menyapa sabahat itu pada warsa-warsa hadapan. Ramalan sang insan, dunia bakal mendepani fenomena hangatan oleh si anak (El-Nino), barangkali turut menyuntik urna dalam menguji persahabatan dengan Ramadhan nanti. Sang insan acapkali alpa. Ya, menepati etimologi "insan" itu sendiri. Biarpun jengahan sahabat itu menjadi polikitar, namun sang insan masih tiada anjakan. Masih berdendang ria bait-bait menyambut Aidilfitri, meskipun masih di ambang Ramadhan. Begitu picisankah kualiti sang insan yang bergelar muslim? Nasi tidak akan menjadi bubur jika apinya, airnya tidak dilewakan sewenangnya sedang akal menyedari natijah yang bakal ditanggung.


[Memori ambang Ramadhan warsa lepas (2013) menyaksikan sketsa pada papan putih Surau An-Nur, Kolej Ibrahim Yaakub, UKM. Ketika ini, saya dan rakan-rakan sedang berada di dalam minggu peperiksaan akhir semester. Corengan ini kemudiannya ditokok pada latar belakangnya dengan pemandangan sawah padi oleh sahabat saya, Aiman Ahmad.]


"Mengkhayali repertoire satwa hutanan"
Perbukitan Ibrahim Yaakub,
Universiti Kebangsaan Malaysia.