Thursday, June 19, 2014

Si Macaque dan Varsiti

Berbicara berkenaan Macaque, rata-rata mahasiswa/i di kampus UKM, Bangi mempunyai pengalaman tersendiri dengan primat tersebut lebih-lebih lagi dengan si kera, Macaca fascicularis. Dihambat semasa berjalan kaki atau menunggang motorsikal, bilik diselongkar, tong sampah yang terburai isinya di koridor bangunan, bungkusan makanan dirampas dan barangkali digigit adalah antara pengalaman yang mungkin dialami. Populasi kera dilihat lebih dominan malah anda mampu melihat mereka sepanjang hari terutamanya pada awal pagi dan lewat petang. Sudah pastinya mereka akan muncul secara rawak dari dedahan angsana (Pterocarpus indicus) yang banyak berdirian di sekitar kolej-kolej kediaman dan juga dari pinggiran hutan di sekeliling kampus. Justeru, kadar interaksi yang berlaku antara haiwan tersebut dengan manusia adalah lebih tinggi berbanding saudara-saudaranya yang lain seperti beruk (Macaca nemestrina), lutong kokah (Presbytis siamensis siamensis), lutong kelabu (Trachypithecus cristatus) dan lutong celak (Trachypithecus obscurus) yang lebih bersifat kedalaman seperti di kawasan kompleks makmal bioteknologi tumbuhan, perumahan Bukit Puteri dan hutan simpan kekal UKM.   





Konflik antara manusia dengan primat di kampus UKM, Bangi telah dikaji oleh Prof. Dr. Badrul Munir Md. Zain dan rakan-rakan beliau menerusi kaedah tinjauan dan soal selidik. Kertas beliau ini baru sahaja diterbitkan dalam jurnal Pertanika pada awal tahun ini (Januari 2014). Saya ada mengepilkan ikhtisar kajian tersebut di perlak pos ini, namun untuk makalah penuh, saudara-saudari boleh ke pautan ini

Seperti semut putih atau anai-anai, pelbagai perkara dapat dipelajari daripada nuansa sosiobiologi yang telah Allah tetapkan pada haiwan-haiwan ini. Hal ini ada dibincangkan di dalam makalah Hadhari 4(1): 2010, hasil kajian dan penelitian Prof. Dr. Badrul Munir Md. Zain (pensyarah PPSSSA, FST, UKM) dan Farhani Ruslin, terhadap nilai-nilai kekeluargaan dalam populasi lutong kelabu (Trachypithecus cristatus). Ikhtisar kajian ada disertakan di laman pos ini sebagai informasi langsung, manakala untuk isi makalah yang penuh bolehlah dicapai pada pautan ini




Sekian sahaja untuk kali ini. Semoga apa yang dipenakan di dada pos kali ini bermanfaat. Insya Allah. 


No comments:

Post a Comment