Thursday, October 9, 2014

Buku Baharu PTSL UKM

بسم الله الرحمن الرحيم

Bagi pencinta biologi tumbuhan dan entomologi (kaji serangga), saya rasa dua buah buku ini (lihat gambar) anda perlu dapatkan segera di Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) yang kini masih dikategorikan sebagai naskhah baharu sehingga penghujung tahun ini (31 Disember 2014).

Naskhah botani tersebut merupakan terbitan Universiti Sains Malaysia pada September 2011 atas usaha untuk menyingkap sejarah penyelidikan dan kerja lapangan aroid (tumbuhan dalam famili Araceae) khusus di semenanjung Malaysia, menyelami ekologi dan bentukkan kehidupan aroid secara liar dan tanaman, pemerihalan taksonomi aroid di peringkat famili, menyediakan panduan (kekunci) pengecaman aroid ke peringkat taksonomi yang lebih rendah (hingga ke peringkat spesies) dan melampirkan senarai semak aroid yang telah dikelaskan sebelum ini. Hal ini menjadi data rujukan penting dalam kerja-kerja inventori dan proses pengenalan taksa baharu dalam family Araceae. Selain di Malaysia, buku ini juga telah diedarkan di Amerika Syarikat melalui Persatuan Aroid Antarabangsa (IAS) dengan kerjasama salah seorang penulisnya, Peter C. Boyce. Perkaitan rentas sempadan (biogeografi) antara aroid di semenanjung Malaysia dengan Borneo, Sumatera dan selatan Thai juga ada di bincangkan secara ringkas di dalam buku ini (lihat gambar peta).


Reka grafik muka depan kulit lembut bagi buku kekunci taksonomi Araceae


Ikhtisar kandungan buku secara umum yang memperkenalkan famili Araceae


Araceae di alam biogeografi semenanjung Malaysia:yang dikenalpasti setakat ini: kekerabatan rentas sempadan (semenanjung Malaysia - selatan Thai - Sumatera - Borneo) melalui penspesiesan, keendemikan (kesan kepulauan) dan habitat terkhusus (tebing sungai pasang surut, substrat batu kapur) 


Salah satu ulasan bergambar (foto) bagi pemerihalan Alocasia spp. yang kaya variasi terutama pada bentuk bilah daun dan tanda corak di atas daun. Foto juga menunjukkan bahagian pada Alocasia yang mengalami perbungaan (inflorescence) dan perbuahan (infructescence)


Pencinta parasitologi serangga pasti meminati buku ini (lihat gambar) yang telah diterbitkan oleh Universiti Malaya pada tahun 2012 yang mengkhaskan subjeknya kepada beberapa genus nyamuk di semenanjung Malaysia. Ikhtisarnya, kedudukan semenanjung Malaysia yang menjadi tumpuan kepelbagaian flora dan fauna turut dihuni kepelbagaian spesies nyamuk yang dianggap antara terpenting di dunia bagi tujuan kajian dalam lapangan perubatan. Justeru, dengan bantuan ilustrasi morfologi nyamuk dewasa yang diperihalkan secara terperinci, pembaca dapat dipandu untuk mengenalpasti beberapa spesies nyamuk dengan mudah melalui kekunci bergambar yang telah disediakan. Apatah lagi ilustrasi morfologi nyamuk tersebut telah dicerakinkan mengikut bahagian antena, kepala, toraks, sayap, abdomen dan kaki agar pengecaman secara jitu dapat dilakukan. Nyamuk betina AnophelesCulex, Armigeres, Aedes, Lutzia, dan Mansonia  adalah antara genus yang diperihalkan morfologinya per se.  


 Reka grafik muka depan buku terbitan UM Press ini


Pengenalan morfologi nyamuk dewasa secara keseluruhan

A ]
[ B ]

Gambar [A] dan [B] memaparkan perincian urat dan pola urat lintang pada sayap Anopheles betina


Semoga kita memperoleh manfaat daripada buku-buku ini. Insya Allah.

Selamat membaca. 



No comments:

Post a Comment