Wednesday, June 18, 2014

Sorotan Syarahan Perdana Profesor (Jumaat, 13 Jun 2014)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala yang telah mengizinkan saya menghadiri slot syarahan perdana Prof. Dr. Mastura Mahmud (PPSPP, FSSK). Kiranya pagi-pagi sayyidul ayyam itu begitu produktif dari hari-hari sebelumnya, yang saya kira kebanyakkan waktu di bazirkan dengan mengkhayali rasian di pembaringan empuk di kolej kediaman. Ya, di dalam bilik senat yang gah itu, terasa diri ini begitu kerdil. Rata-rata yang berada di dalam itu ialah dalam kalangan NGO dan barisan profesor serta pensyarah dari pelbagai fakulti. Dr. Wan Juliana dan Prof. Shukor, permata ilmuwan dari pusat pengajian saya (PPSSSA, FST) juga turut kelihatan. Ah, segan juga di meja bulat ini. Duduk di sebelah kiri saya ialah seorang lelaki warga Bangladesh, yang saya kira seorang calon Doktor Falsafah. Saya bersimpati juga dengannya kerana syarahan ini disampaikan sepenuhnya di dalam bahasa Melayu. Lantaran itu, beliau kelihatan terkial-kial untuk memahami apa yang dipersembahkan dan akhirnya, selepas beberapa kali senggukan, beliau mengangkat kaki keluar daripada bilik senat. Barangkali menarik muka dua belas. 

Secara keseluruhan, kajian-kajian yang disorotkan amat menarik namun penyampaiannya agak hambar. Hal ini kerana Prof. kelihatan hanya membaca sahaja apa yang telah ditaip pada slaid. Justeru, tidak banyak input-input eksternal atau lanjutan yang dimadahkan untuk berharmoni dan berkompromi dengan teks yang sedia ada. Selain itu, tradisi syarahan perdana yang berakhir tanpa sesi soal jawab turut mengundang kekecewaan.  Walaubagaimanapun, kajian-kajian yang dipersembahkan sangat mengujakan bagi pencinta ilmu dan alam sekitar, apatah lagi dengan pemaparan kaedah trajektori kehadapan dan kebelakang yang dimodelkan pada imej-imej rakaman satelit. Begitu meronta-ronta sukma ini dengan penuh hasrat untuk mendalami ilmu meteorologi, fizis dan geografi di peringkat lanjutan suatu masa nanti. 

Antara beberapa isi yang sempat dicatatkan pada buku coreng 16 x 11 sm:

  • Jerebu rentas sempadan (transboundary haze) kebiasaannya berlaku dari Jun hingga September. Namun, episod jerebu pada awal tahun ini (2014) dikatakan episod luar jangka yang menjejaskan selat Kelang, Lembah Klang, W. P. Kuala Lumpur, Melaka dan Seremban dengan teruk dengan bacaan API melebihi 300. 
  • Episod jerebu pada Jun 2013 telah melibatkan Singapura, Johor dan negeri-negeri di pantai barat semenanjung. Kerajaan Indonesia telah membelanjakan kira-kira RM60 bilion untuk kerja-kerja pembenihan awan dari Sumatera.
  • Penjejakan titik panas dengan bantuan satelit dinamakan penderiaan jauh, di mana sesebuah satelit terdiri daripada badan atau platform dan penderia, yakni sensor. Penderia ini tidak bersentuhan secara langsung dengan permukaan atau objek yang menjadi sasaran cerapan pengkaji, oleh itu mendapat jolokan nama "penderiaan jauh" seperti yang diterangkan. 
  • Satelit adalah pelbagai dan tahap leraian imej sama ada rendah, sederhana dan tinggi bergantung pada jarak ketinggian dari permukaan oleh penderia dan luas bukaan pandangan oleh penderia (instantaneous field of view, IFOV).  
  • ASTER, SPOT dan Landsat merupakan satelit berleraian tinggi (high resolution) tetapi tidak merakam imej pada masa yang nyata (real-time). 
  • Satelit NOAA-AVHRR adalah lebih baik daripada ASTER kerana keupayaannya mencerap lebih banyak titik panas sehari.
  • Kebakaran di tanih gambut amat menarik minat pengkaji kerana jelaga yang dihasilkan lebih prominen atau tebal.
  • PAH adalah singkatan bagi hidrokarbon aromatik polikitar.
  • Cerapan secara global oleh MODIS pada tahun 2012 menunjukkan titik-titik panas di savanah (Afrika), boreal (AS), lembangan Amazonia dan rantau tropika di Asia. 
  • Antara kandungan jerebu ialah gas-gas rumah hijau seperti prekursor ozon, oksida nitrogen (NOx), hidrokarbon total (THC) dan hidrokarbon bukan metana (NmHC).
  • Sekiranya tanih gambut terbakar, apakah komponen gas utama yang akan terbebas?
  • Model plum asap dan serakan asap (kajian Mastura 2009) menunjukkan hanya dalam 12 jam hingga dua hari sahaja, plum asap memenuhi ruang udara semenanjung Malaysia dari Sumatera. 
  • KOA merujuk kepada Kedalaman Optik Aerosol atau bahasa Inggerisnya, Aerosol Optical Depth (AOD).
  • Saiz aerosol di Lautan Hindi adalah kasar manakala di Laut China Selatan, saiznya lebih halus.
  • Kehadiran tanah tinggi seperti gunung dan banjaran dapat memerangkap migrasi asap.
  • Asap yang lebih tebal memberi nilai KOA yang lebih tinggi. 

Justeru itu, bagi mendapatkan lebih banyak pencerahan mengenai isu pencemaran udara di peringkat serantau dan bagaimana satelit menjadi wahdah yang sangat signifikan dalam pemantauan dan pengesanan fenomena tersebut kontemporari ini, saudara/saudari bolehlah merujuk buku syarahan yang telah diterbitkan di Penerbit UKM. Saya dan hadirin lain bagaimanapun mendapat buku syarahan itu secara percuma setelah syarahan melabuhkan tirainya hari itu.

[Moga informasi yang berbagi di perlak penulisan ini bermanfaat hendak-Nya. 
Insya Allah. Sekian, wassalam.]





2 comments:

  1. Terima kasih kerana menghadiri Syarahan Perdana saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam alaik Prof. Terima kasih atas kesempatan prof. bertandang ke laman blog yang tidak seberapa ini. :)

      Delete