Tanggal 29 Jun ini bakal menjadi permulaan bagi sahabat baik kita, Ramadhan. Ya, setahun sekali sahabat kita itu menjengah. Kitaran jengahan itu berterusan, sehingga tibanya janji Tuhan, janji yang sekonyong-konyong sahaja menerpa, walhal kita sayugia sentiasa berwaspada melangkah di dalam setiap masa dan ketika, di setiap ekspirasi nafas yang masih berbaki, di ujana akhir usia ini. Menahan tengkolok dan epitelium esofagus dari kandungan dihidrogen oksida sahaja masih tidak cukup. Apakah hanya itu yang menjadi ukuran dalam menyambut dan merenangi ruang Ramadhan yang hanya empat minggu itu? Pemergiannya merengsakan. Malah kehadirannya juga kadangkala menyingkap linangan. Meragui apakah atmanya masih diizinkan menyapa sabahat itu pada warsa-warsa hadapan. Ramalan sang insan, dunia bakal mendepani fenomena hangatan oleh si anak (El-Nino), barangkali turut menyuntik urna dalam menguji persahabatan dengan Ramadhan nanti. Sang insan acapkali alpa. Ya, menepati etimologi "insan" itu sendiri. Biarpun jengahan sahabat itu menjadi polikitar, namun sang insan masih tiada anjakan. Masih berdendang ria bait-bait menyambut Aidilfitri, meskipun masih di ambang Ramadhan. Begitu picisankah kualiti sang insan yang bergelar muslim? Nasi tidak akan menjadi bubur jika apinya, airnya tidak dilewakan sewenangnya sedang akal menyedari natijah yang bakal ditanggung.
[Memori ambang Ramadhan warsa lepas (2013) menyaksikan sketsa pada papan putih Surau An-Nur, Kolej Ibrahim Yaakub, UKM. Ketika ini, saya dan rakan-rakan sedang berada di dalam minggu peperiksaan akhir semester. Corengan ini kemudiannya ditokok pada latar belakangnya dengan pemandangan sawah padi oleh sahabat saya, Aiman Ahmad.]
"Mengkhayali repertoire satwa hutanan"
Perbukitan Ibrahim Yaakub,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
No comments:
Post a Comment