Tatkala di pangkin sarjana muda dahulu, pasti saya akan mengendahkan sahaja sebarang poster dan banting atau dengan kata yang lebih padat (concise), iklan, syarahan-syarahan perdana profesor. Dan semasa di tahun 2 dahulu pun, saya hanya memaksakan diri untuk pergi mendengar syarahan Prof. Dr. Othman Ross (pensyarah ekologi samudera saya) kerana dikhabarkan kehadiran pelajar akan dicatat. Namun disebabkan kelewatan kira-kira 15 minit, bilik senat sudah tidak dibenarkan masuk kerana penuh dan syarahan 'Khazanah Hidupan Pesisir Pantai" itu tidak dapat didengar. Episod endahan itu ternyata tidak panjang. Menjejakkan kaki buat julung kalinya ke dalam bilik senat di bangunan canselori ketika syarahan mengenai isu Islam dan hak asasi manusia kira-kira sewarsa yang lepas amat mengujakan. Tidak dapat saya ingati nama penceramah (wakil pihak Prof yang tidak dapat hadir ketika itu), namun pencerahan demi pencerahan yang sangat akademikal baik dari sudut agama, bangsa, etika dan perlembagaan Malaysia sudah cukup membuatkan para hadirin terlongo. Padu penerangannya!
Ada beberapa lagi siri syarahan perdana selepas itu yang saya tertinggal akibat kekangan masa. Namun, sukacita dikhabarkan di perlak blog sederhana ini, esok (Jumaat, 13 Jun 2014) bakal berlangsungnya satu lagi syarahan perdana oleh Prof. Dr. Mastura Mahmud (FSSK) mengenai penderiaan jauh (remote sensing) sebagai wahdah dalam menjejak pencemaran alam merentas sempadan. Saya berkesempatan menuntut ilmu dengan beliau untuk kira-kira dua minggu sahaja sewaktu mengambil kelas elektif SKAG2083 Geomorfologi Tropika di tahun akhir dahulu, kerana kelas-kelas selepas itu diambil alih oleh Dr. Mokhtar Jaafar.
Sangat berminat untuk mendengar syarahan ini mungkin disebabkan adanya asas dan perkaitan dengan kursus Sistem Maklumat Geografi dan Penderiaan Jauh (GIS-RS) yang pernah diambil di semester kedua sebagai calon sarjana sains Biologi Pemuliharaan. Justeru, ingin saya kongsikan lampiran poster syarahan tersebut di dada blog kali ini untuk informasi lanjut dan paparan buat saudara/i yang budiman sekalian.
Semoga Allah mengizinkan saya hadir esok. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment