Saturday, October 11, 2014

Coretan Herbarium (Eksposisi)

Reka letak dan manipulasi aksara, rupa, bentuk dan tona warna. Hanya pada dada Microsoft PowerPoint sahaja yang mampu dikerjakan kerana ketiadaan perisian Adobe Photoshop. Alhamdulillah. Penjejakan di ujana malar hijau ini entah sudah masuk kali ke berapa, namun tidak pernah menjemukan. Sang Culicidae, penghisap darah berterbangan itu bukan lagi masalah buat kami. Ujana herba kini kelihatan lebih sistematis dan approachable. Insya Allah dalam pos yang akan datang, saya akan kongsikan pengalaman terbaharu di herbarium ini yang boleh saya temakan sebagai suatu penjelajahan ilmu dan kehidupan. Bagi saya, disinilah sumur inspirasi. Di setiap sudutnya sangat meralitkan, memantul ketenangan bagi sukma dan fikiran. Ya, nikmat udara terdeflogiston juga ternyata lebih mendamaikan. Apatah lagi "ilmu" di sini yang bagaikan terlentang di hamparan. 


Moga Allah permudahkan kesinambungan pos kali ini seperti yang dirancang. Dan semoga banyak juga manfaat yang dapat kita saling berbagi di perlak penulisan ini. 

Allahua'lam.

Thursday, October 9, 2014

Buku Baharu PTSL UKM

بسم الله الرحمن الرحيم

Bagi pencinta biologi tumbuhan dan entomologi (kaji serangga), saya rasa dua buah buku ini (lihat gambar) anda perlu dapatkan segera di Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) yang kini masih dikategorikan sebagai naskhah baharu sehingga penghujung tahun ini (31 Disember 2014).

Naskhah botani tersebut merupakan terbitan Universiti Sains Malaysia pada September 2011 atas usaha untuk menyingkap sejarah penyelidikan dan kerja lapangan aroid (tumbuhan dalam famili Araceae) khusus di semenanjung Malaysia, menyelami ekologi dan bentukkan kehidupan aroid secara liar dan tanaman, pemerihalan taksonomi aroid di peringkat famili, menyediakan panduan (kekunci) pengecaman aroid ke peringkat taksonomi yang lebih rendah (hingga ke peringkat spesies) dan melampirkan senarai semak aroid yang telah dikelaskan sebelum ini. Hal ini menjadi data rujukan penting dalam kerja-kerja inventori dan proses pengenalan taksa baharu dalam family Araceae. Selain di Malaysia, buku ini juga telah diedarkan di Amerika Syarikat melalui Persatuan Aroid Antarabangsa (IAS) dengan kerjasama salah seorang penulisnya, Peter C. Boyce. Perkaitan rentas sempadan (biogeografi) antara aroid di semenanjung Malaysia dengan Borneo, Sumatera dan selatan Thai juga ada di bincangkan secara ringkas di dalam buku ini (lihat gambar peta).


Reka grafik muka depan kulit lembut bagi buku kekunci taksonomi Araceae


Ikhtisar kandungan buku secara umum yang memperkenalkan famili Araceae


Araceae di alam biogeografi semenanjung Malaysia:yang dikenalpasti setakat ini: kekerabatan rentas sempadan (semenanjung Malaysia - selatan Thai - Sumatera - Borneo) melalui penspesiesan, keendemikan (kesan kepulauan) dan habitat terkhusus (tebing sungai pasang surut, substrat batu kapur) 


Salah satu ulasan bergambar (foto) bagi pemerihalan Alocasia spp. yang kaya variasi terutama pada bentuk bilah daun dan tanda corak di atas daun. Foto juga menunjukkan bahagian pada Alocasia yang mengalami perbungaan (inflorescence) dan perbuahan (infructescence)


Pencinta parasitologi serangga pasti meminati buku ini (lihat gambar) yang telah diterbitkan oleh Universiti Malaya pada tahun 2012 yang mengkhaskan subjeknya kepada beberapa genus nyamuk di semenanjung Malaysia. Ikhtisarnya, kedudukan semenanjung Malaysia yang menjadi tumpuan kepelbagaian flora dan fauna turut dihuni kepelbagaian spesies nyamuk yang dianggap antara terpenting di dunia bagi tujuan kajian dalam lapangan perubatan. Justeru, dengan bantuan ilustrasi morfologi nyamuk dewasa yang diperihalkan secara terperinci, pembaca dapat dipandu untuk mengenalpasti beberapa spesies nyamuk dengan mudah melalui kekunci bergambar yang telah disediakan. Apatah lagi ilustrasi morfologi nyamuk tersebut telah dicerakinkan mengikut bahagian antena, kepala, toraks, sayap, abdomen dan kaki agar pengecaman secara jitu dapat dilakukan. Nyamuk betina AnophelesCulex, Armigeres, Aedes, Lutzia, dan Mansonia  adalah antara genus yang diperihalkan morfologinya per se.  


 Reka grafik muka depan buku terbitan UM Press ini


Pengenalan morfologi nyamuk dewasa secara keseluruhan

A ]
[ B ]

Gambar [A] dan [B] memaparkan perincian urat dan pola urat lintang pada sayap Anopheles betina


Semoga kita memperoleh manfaat daripada buku-buku ini. Insya Allah.

Selamat membaca. 



Bingkisan di Aidiladha 1435H

Alhamdulillah. Syukur yang ketidakterhinggan dipanjatkan ke hadrat ilahi yang masih mengizinkan jari-jemari saya memadah sepatah dua di dada sesawang ini. Keberadaan kita dalam hari-hari tasyrik, yakni 11, 12 dan 13 Zulhijjah menyaksikan semalam merupakan tanggal eiduladha buat semua umat Islam di seantero dunia. Peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang diwahyukan oleh Allah supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. acap menjadi motif ulangan di persada ceramah di surau-surau dan masjid. Namun penyampaian yang lebih segar dapat saya nikmati tatkala bertandang ke Surau An-Nur di perbukitan KIY pada khamis lepas. Alhamdulillah, kiranya sisa-sisa masa dalam luang transisi Maghrib-Isyak itu tidak dipersia sewenangnya. Berbagi sepenuh yang termampu, kesetiaan yang tidak berbelah terhadap wahyu Tuhannya sehingga tidak lagi memiliki rasa wujud diri menjadi simbol ketinggian tauhid yang perlu diteladani dan menjadi teras ultimatum dalam kembali memperkasakan umat Islam masa kini. Ya, satu penjiwaan yang sukar dimalarkan oleh kita sebagai insan yang penuh kealpaan. Korban yang dimanifestasikan sayugia bukan hanya digahkan sebagai suatu simbolik semata-mata bahkan perlu lebih pragmatik dengan memangkas segala kurtosis kemaksiatan yang pernah dilakukan sebelum ini. Justeru, mudah-mudahan Allah mengizinkan eiduladha kali ini menjadi titik tolak dalam usaha kita untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dari hari ke hari, di samping usia yang semakin menokok dan ajal yang sudah pasti menghampiri. Allahua’lam.


*Secebis nota yang tertaip pada 6/10 dan tertangguh dan akhirnya diizinkan sempurna pada 9/10]...