Thursday, June 19, 2014

Si Macaque dan Varsiti

Berbicara berkenaan Macaque, rata-rata mahasiswa/i di kampus UKM, Bangi mempunyai pengalaman tersendiri dengan primat tersebut lebih-lebih lagi dengan si kera, Macaca fascicularis. Dihambat semasa berjalan kaki atau menunggang motorsikal, bilik diselongkar, tong sampah yang terburai isinya di koridor bangunan, bungkusan makanan dirampas dan barangkali digigit adalah antara pengalaman yang mungkin dialami. Populasi kera dilihat lebih dominan malah anda mampu melihat mereka sepanjang hari terutamanya pada awal pagi dan lewat petang. Sudah pastinya mereka akan muncul secara rawak dari dedahan angsana (Pterocarpus indicus) yang banyak berdirian di sekitar kolej-kolej kediaman dan juga dari pinggiran hutan di sekeliling kampus. Justeru, kadar interaksi yang berlaku antara haiwan tersebut dengan manusia adalah lebih tinggi berbanding saudara-saudaranya yang lain seperti beruk (Macaca nemestrina), lutong kokah (Presbytis siamensis siamensis), lutong kelabu (Trachypithecus cristatus) dan lutong celak (Trachypithecus obscurus) yang lebih bersifat kedalaman seperti di kawasan kompleks makmal bioteknologi tumbuhan, perumahan Bukit Puteri dan hutan simpan kekal UKM.   





Konflik antara manusia dengan primat di kampus UKM, Bangi telah dikaji oleh Prof. Dr. Badrul Munir Md. Zain dan rakan-rakan beliau menerusi kaedah tinjauan dan soal selidik. Kertas beliau ini baru sahaja diterbitkan dalam jurnal Pertanika pada awal tahun ini (Januari 2014). Saya ada mengepilkan ikhtisar kajian tersebut di perlak pos ini, namun untuk makalah penuh, saudara-saudari boleh ke pautan ini

Seperti semut putih atau anai-anai, pelbagai perkara dapat dipelajari daripada nuansa sosiobiologi yang telah Allah tetapkan pada haiwan-haiwan ini. Hal ini ada dibincangkan di dalam makalah Hadhari 4(1): 2010, hasil kajian dan penelitian Prof. Dr. Badrul Munir Md. Zain (pensyarah PPSSSA, FST, UKM) dan Farhani Ruslin, terhadap nilai-nilai kekeluargaan dalam populasi lutong kelabu (Trachypithecus cristatus). Ikhtisar kajian ada disertakan di laman pos ini sebagai informasi langsung, manakala untuk isi makalah yang penuh bolehlah dicapai pada pautan ini




Sekian sahaja untuk kali ini. Semoga apa yang dipenakan di dada pos kali ini bermanfaat. Insya Allah. 


Bingkisan di Ambang Ramadhan

Tanggal 29 Jun ini bakal menjadi permulaan bagi sahabat baik kita, Ramadhan. Ya, setahun sekali sahabat kita itu menjengah. Kitaran jengahan itu berterusan, sehingga tibanya janji Tuhan, janji yang sekonyong-konyong sahaja menerpa, walhal kita sayugia sentiasa berwaspada melangkah di dalam setiap masa dan ketika, di setiap ekspirasi nafas yang masih berbaki, di ujana akhir usia ini. Menahan tengkolok dan epitelium esofagus dari kandungan dihidrogen oksida sahaja masih tidak cukup. Apakah hanya itu yang menjadi ukuran dalam menyambut dan merenangi ruang Ramadhan yang hanya empat minggu itu? Pemergiannya merengsakan. Malah kehadirannya juga kadangkala menyingkap linangan. Meragui apakah atmanya masih diizinkan menyapa sabahat itu pada warsa-warsa hadapan. Ramalan sang insan, dunia bakal mendepani fenomena hangatan oleh si anak (El-Nino), barangkali turut menyuntik urna dalam menguji persahabatan dengan Ramadhan nanti. Sang insan acapkali alpa. Ya, menepati etimologi "insan" itu sendiri. Biarpun jengahan sahabat itu menjadi polikitar, namun sang insan masih tiada anjakan. Masih berdendang ria bait-bait menyambut Aidilfitri, meskipun masih di ambang Ramadhan. Begitu picisankah kualiti sang insan yang bergelar muslim? Nasi tidak akan menjadi bubur jika apinya, airnya tidak dilewakan sewenangnya sedang akal menyedari natijah yang bakal ditanggung.


[Memori ambang Ramadhan warsa lepas (2013) menyaksikan sketsa pada papan putih Surau An-Nur, Kolej Ibrahim Yaakub, UKM. Ketika ini, saya dan rakan-rakan sedang berada di dalam minggu peperiksaan akhir semester. Corengan ini kemudiannya ditokok pada latar belakangnya dengan pemandangan sawah padi oleh sahabat saya, Aiman Ahmad.]


"Mengkhayali repertoire satwa hutanan"
Perbukitan Ibrahim Yaakub,
Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Wednesday, June 18, 2014

Sorotan Syarahan Perdana Profesor (Jumaat, 13 Jun 2014)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala yang telah mengizinkan saya menghadiri slot syarahan perdana Prof. Dr. Mastura Mahmud (PPSPP, FSSK). Kiranya pagi-pagi sayyidul ayyam itu begitu produktif dari hari-hari sebelumnya, yang saya kira kebanyakkan waktu di bazirkan dengan mengkhayali rasian di pembaringan empuk di kolej kediaman. Ya, di dalam bilik senat yang gah itu, terasa diri ini begitu kerdil. Rata-rata yang berada di dalam itu ialah dalam kalangan NGO dan barisan profesor serta pensyarah dari pelbagai fakulti. Dr. Wan Juliana dan Prof. Shukor, permata ilmuwan dari pusat pengajian saya (PPSSSA, FST) juga turut kelihatan. Ah, segan juga di meja bulat ini. Duduk di sebelah kiri saya ialah seorang lelaki warga Bangladesh, yang saya kira seorang calon Doktor Falsafah. Saya bersimpati juga dengannya kerana syarahan ini disampaikan sepenuhnya di dalam bahasa Melayu. Lantaran itu, beliau kelihatan terkial-kial untuk memahami apa yang dipersembahkan dan akhirnya, selepas beberapa kali senggukan, beliau mengangkat kaki keluar daripada bilik senat. Barangkali menarik muka dua belas. 

Secara keseluruhan, kajian-kajian yang disorotkan amat menarik namun penyampaiannya agak hambar. Hal ini kerana Prof. kelihatan hanya membaca sahaja apa yang telah ditaip pada slaid. Justeru, tidak banyak input-input eksternal atau lanjutan yang dimadahkan untuk berharmoni dan berkompromi dengan teks yang sedia ada. Selain itu, tradisi syarahan perdana yang berakhir tanpa sesi soal jawab turut mengundang kekecewaan.  Walaubagaimanapun, kajian-kajian yang dipersembahkan sangat mengujakan bagi pencinta ilmu dan alam sekitar, apatah lagi dengan pemaparan kaedah trajektori kehadapan dan kebelakang yang dimodelkan pada imej-imej rakaman satelit. Begitu meronta-ronta sukma ini dengan penuh hasrat untuk mendalami ilmu meteorologi, fizis dan geografi di peringkat lanjutan suatu masa nanti. 

Antara beberapa isi yang sempat dicatatkan pada buku coreng 16 x 11 sm:

  • Jerebu rentas sempadan (transboundary haze) kebiasaannya berlaku dari Jun hingga September. Namun, episod jerebu pada awal tahun ini (2014) dikatakan episod luar jangka yang menjejaskan selat Kelang, Lembah Klang, W. P. Kuala Lumpur, Melaka dan Seremban dengan teruk dengan bacaan API melebihi 300. 
  • Episod jerebu pada Jun 2013 telah melibatkan Singapura, Johor dan negeri-negeri di pantai barat semenanjung. Kerajaan Indonesia telah membelanjakan kira-kira RM60 bilion untuk kerja-kerja pembenihan awan dari Sumatera.
  • Penjejakan titik panas dengan bantuan satelit dinamakan penderiaan jauh, di mana sesebuah satelit terdiri daripada badan atau platform dan penderia, yakni sensor. Penderia ini tidak bersentuhan secara langsung dengan permukaan atau objek yang menjadi sasaran cerapan pengkaji, oleh itu mendapat jolokan nama "penderiaan jauh" seperti yang diterangkan. 
  • Satelit adalah pelbagai dan tahap leraian imej sama ada rendah, sederhana dan tinggi bergantung pada jarak ketinggian dari permukaan oleh penderia dan luas bukaan pandangan oleh penderia (instantaneous field of view, IFOV).  
  • ASTER, SPOT dan Landsat merupakan satelit berleraian tinggi (high resolution) tetapi tidak merakam imej pada masa yang nyata (real-time). 
  • Satelit NOAA-AVHRR adalah lebih baik daripada ASTER kerana keupayaannya mencerap lebih banyak titik panas sehari.
  • Kebakaran di tanih gambut amat menarik minat pengkaji kerana jelaga yang dihasilkan lebih prominen atau tebal.
  • PAH adalah singkatan bagi hidrokarbon aromatik polikitar.
  • Cerapan secara global oleh MODIS pada tahun 2012 menunjukkan titik-titik panas di savanah (Afrika), boreal (AS), lembangan Amazonia dan rantau tropika di Asia. 
  • Antara kandungan jerebu ialah gas-gas rumah hijau seperti prekursor ozon, oksida nitrogen (NOx), hidrokarbon total (THC) dan hidrokarbon bukan metana (NmHC).
  • Sekiranya tanih gambut terbakar, apakah komponen gas utama yang akan terbebas?
  • Model plum asap dan serakan asap (kajian Mastura 2009) menunjukkan hanya dalam 12 jam hingga dua hari sahaja, plum asap memenuhi ruang udara semenanjung Malaysia dari Sumatera. 
  • KOA merujuk kepada Kedalaman Optik Aerosol atau bahasa Inggerisnya, Aerosol Optical Depth (AOD).
  • Saiz aerosol di Lautan Hindi adalah kasar manakala di Laut China Selatan, saiznya lebih halus.
  • Kehadiran tanah tinggi seperti gunung dan banjaran dapat memerangkap migrasi asap.
  • Asap yang lebih tebal memberi nilai KOA yang lebih tinggi. 

Justeru itu, bagi mendapatkan lebih banyak pencerahan mengenai isu pencemaran udara di peringkat serantau dan bagaimana satelit menjadi wahdah yang sangat signifikan dalam pemantauan dan pengesanan fenomena tersebut kontemporari ini, saudara/saudari bolehlah merujuk buku syarahan yang telah diterbitkan di Penerbit UKM. Saya dan hadirin lain bagaimanapun mendapat buku syarahan itu secara percuma setelah syarahan melabuhkan tirainya hari itu.

[Moga informasi yang berbagi di perlak penulisan ini bermanfaat hendak-Nya. 
Insya Allah. Sekian, wassalam.]





Thursday, June 12, 2014

Syarahan Perdana Profesor, UKM'sia

Tatkala di pangkin sarjana muda dahulu, pasti saya akan mengendahkan sahaja sebarang poster dan banting atau dengan kata yang lebih padat (concise), iklan, syarahan-syarahan perdana profesor. Dan semasa di tahun 2 dahulu pun, saya hanya memaksakan diri untuk pergi mendengar syarahan Prof. Dr. Othman Ross (pensyarah ekologi samudera saya) kerana dikhabarkan kehadiran pelajar akan dicatat. Namun disebabkan kelewatan kira-kira 15 minit, bilik senat sudah tidak dibenarkan masuk kerana penuh dan syarahan 'Khazanah Hidupan Pesisir Pantai" itu tidak dapat didengar. Episod endahan itu ternyata tidak panjang. Menjejakkan kaki buat julung kalinya ke dalam bilik senat di bangunan canselori ketika syarahan mengenai isu Islam dan hak asasi manusia kira-kira sewarsa yang lepas amat mengujakan. Tidak dapat saya ingati nama penceramah (wakil pihak Prof yang tidak dapat hadir ketika itu), namun pencerahan demi pencerahan yang sangat akademikal baik dari sudut agama, bangsa, etika dan perlembagaan Malaysia sudah cukup membuatkan para hadirin terlongo. Padu penerangannya! 

Ada beberapa lagi siri syarahan perdana selepas itu yang saya tertinggal akibat kekangan masa. Namun, sukacita dikhabarkan di perlak blog sederhana ini, esok (Jumaat, 13 Jun 2014) bakal berlangsungnya satu lagi syarahan perdana oleh Prof. Dr. Mastura Mahmud (FSSK) mengenai penderiaan jauh (remote sensing) sebagai wahdah dalam menjejak pencemaran alam merentas sempadan. Saya berkesempatan menuntut ilmu dengan beliau untuk kira-kira dua minggu sahaja sewaktu mengambil kelas elektif SKAG2083 Geomorfologi Tropika di tahun akhir dahulu, kerana kelas-kelas selepas itu diambil alih oleh Dr. Mokhtar Jaafar. 

Sangat berminat untuk mendengar syarahan ini mungkin disebabkan adanya asas dan perkaitan dengan kursus Sistem Maklumat Geografi dan Penderiaan Jauh (GIS-RS) yang pernah diambil di semester kedua sebagai calon sarjana sains Biologi Pemuliharaan. Justeru, ingin saya kongsikan lampiran poster syarahan tersebut di dada blog kali ini untuk informasi lanjut dan paparan buat saudara/i yang budiman sekalian.

Semoga Allah mengizinkan saya hadir esok. Insya Allah. 




Isu "Lestari" dan "Kelestarian": Apakah maksud / bagaimanakah penggunaan yang sebenarnya?

The national strategy of Vision 2020 aimed at making Malaysia an industrialized nation by the year 2020 will definitely have an impact on the manufacture and use of hazardous and toxic substances in the country. The use of these substances, especially the chemicals, is expected to increase particularly in the manufacturing and agricultural sectors.This warrants the need for a practical, efficient and logical approach to managing and regulating hazardous and toxic substances production and use. The Malaysia National Development Plans and Outline Perspective Plans have placed emphasis on sustainable development. As chemical production and use is very much a part of our daily lives, there is great benefit to be gained from ensuring that the best approach to managing and regulating hazardous and toxic substances is developed as soon as possible. Chemical management is a task that has to be tackled not just by the government agencies, but by industry, business and the community as well.


Sumber:
Mazlin Bin Mokhtar, Sarah Aziz Abdul Ghani, Ahmad Fariz Mohamed & Noor Hasimah A. Manaf. 2003. Managing and regulating hazardous and toxic substances. Environmental Policy and Law 33(6): 268-273.

Mengikuti kursus wajib, Etika & Undang-Undang Pemuliharaan (STAB6054) pada semester lepas sangat mengujakan. Meskipun pada awalnya berasa sedikit tertekan dengan pelbagai istilah etika dan perundangan (dalam konteks alam sekitar) yang perlu dirungkaikan maksudnya satu per satu, dan kemudiannya perlu menyemak helaian kamus untuk mencari perkataan lain yang seerti dan berlawanan serta memungkinkan penggunaan atau penggantian istilah tersebut kepada perkataan lain yang lebih halus (eufimisme), dan juga perlu meneliti sambil menjadualkan artikel-artikel dalam Konvensyen Kepelbagaian Biologi 1992 dan RAMSAR.

Di peringkat sarjana, sememangnya pensyarah kelihatan lebih terbuka untuk menerima pandangan daripada para calon. Dan disinilah diuji sejauhmana kemampuan kita berfikir, menulis dan melontar idea (verbal) secara logis, matang dan sistematik. Faktor pengalaman kerja atau latihan ilmiah/industri, skop atau limitasi pengalaman membaca dan kesedaran, kemahuan / minat kendiri terhadap pengetahuan am, isu-isu semasa seperti ekonomi, politik, psikologi, sains dan geografi AMAT membantu dalam hal di atas. 

Berbalik pada konteks pos kali ini, petikan yang tertera di atas adalah sebahagian ikhtisar daripada makalah yang ditulis oleh Mazlin Mokhtar et al. (2003). Iktibar yang boleh saya simpulkan disini, apakah kita benar-benar faham dengan istilah "sustainability" dan "sustainable" (atau secara vernakularnya disebut "mapan" atau "lestari"). Penggunaan frasa "sustainable development" atau "pembangunan mapan" acapkali dicanang dan divektorkan dalam pelbagai lapangan, kempen dan slogan. Justeru, pemahaman yang terperinci terhadap istilah ini perlu dikuasai supaya tindakan yang sewajarnya dapat diimplementasi secara holistik dan berkesan. Hal ini penting dalam mendepani cabaran Malaysia sebagai negara perindustrian menjelang tahun 2020 (berbaki 6 tahun sahaja lagi) yang diramal menatijahkan penghasilan, penggunaan dan pembuangan sisa-sisa sintetik kimia secara lebih eksponensial. 


Saya cadangkan saudara/saudari yang budiman boleh mengetahui lebih lanjut mengenai hal ini dengan membaca buku "Facets of Sustainability" (tahun terbit: 2012) yang dihasilkan oleh felo-felo penyelidik LESTARI, UKM, terutamanya pada bab 8: "Cast in Stone", yang ditulis oleh pensyarah saya sendiri yakni Dr. Sarah Aziz. Buku ini boleh didapati di kedai PENERBIT UKM. 

Semoga bermanfaat. Insya Allah.




Kalamullah, Kalam Pendamai

Setiap single yang dihasilkan oleh seseorang artis sama ada tempatan atau antarabangsa tanpa mengira genre muzik semestinya durasi mesra halwa telinganya bermusim..namun tahukah anda terdapat 114 trek single yg dihasilkan oleh Allah s.w.t yg diturunkan sebagai wahyu dan mukjizat kepada Nabi Muhammad s.a.w tidak akan pernah jemu didengar dan sentiasa kekal 'easy listening' nya...bahkan terbukti mendamai jiwa yg bergelora...

Narasi Ulang Tahun Kelahiran Insan Fana'
6 Mac 2014 
Perbukitan Kolej Pendeta Zaaba,
Universiti Kebangsaan Malaysia.


Sepenuh Atma dalam Sepenuh Doa

Pernahkan saudara berhadapan dengan ketikanya, saudara sangat memohon kecukupan daripada Allah. saudara berdoa agar tidak berasa haloba dengan dunia. saudara berdoa semoga bukan gelar yang mahu saudara cipta, sebaliknya redha dan ihsan Allah yang sangat didambakan. saat yang sama, saudara berdoa tanpa diketahui sesiapa agar saudara seaqidah tidak digiring menjadi semut di penjuru bulas neraka; penjara bagi mereka yang pernah ada keangkuhan dalam dadanya. pernahkah saudara berdoa sungguh-sungguh supaya tidak diperdayakan dunia?

Narasi 25 Mac 2014
N40 Kota Anggerik, P108 Shah Alam.
Merindui perbukitan ilmu di Bangi.


Rambatan Mimpi dan Harapan

Peristiwa kematian kecil malam semalam masih mengundang rasian yang sama. Rasian yang merambat satu per satu umpama putaran stroboskop yang divariasikan bilangan celahnya. Pecahan pentas rasian itu bergentayangan secara ketidakterhinggaan lalu merca sebagai sebuah Pangae. Di manakah saya ketika ini? Dataran luas terbentang itu kemudiannya seolah-olah mencair, memuncakkan kebuncahan dalam sisa-sisa atma yang masih terkandung ini. Sepertinya saya sedang menyusur di udara, seolah-olah dituntun oleh sang angin pengarak pagi yang menghembus silir-semilir, membawa saya mengekori arah cairan yang masih beraksi. Sekonyong-konyong sahaja latar di sekeliling saya menjadi seakan sebuah perlak riparia dan membentuk tebing yang masih berbalam. Pohon-pohon Syzygium yang muncul di eksposisinya kelihatan tidak membugar. Lesu tanpa pengujaan tenaga. Saya hanya mampu mendengus dan menarik muka dua belas. "Bahana empangan itulah!" Sisa-sisa atma masih mampu memberontak. Namun, pohon-pohon selepasnya kelihatan subur dan menyergah. Hijau Barringtonia acutangulaXanthophyllum glaucum dan Donax arundastrum mengening segar. Keralitan saya itu ternyata tidak panjang. Angin pengarak pagi tidak lagi menampung saya lalu lemas di dalam ketidakselanjaran cairan yang membuak likat dari bawah. Lantas saya terjaga sambil termengah-mengah. Sesekali terdengar bariton Run Away dendangan pelatun muda negara kolonial, Sam Taylor dari tetuak telinga yang tidak dimatikan di atas meja, meyakinkan saya telah kembali menjengah ke alam realiti. Ah, betapa malangnya engkau wahai Chini. Semuanya natijah daripada kerakusan tangan-tangan manusia yang tidak berfikir panjang, hanya menurut nafsu semata. Akan saya usahakan regenerasi mu. Semoga segalanya dipermudahkan oleh Tuhan.   

Narasi 19 Mei 2014
Perbukitan Kolej Ibrahim Yaakub,
Universiti Kebangsaan Malaysia.



Wednesday, June 11, 2014

Catatan Sang Musafir

"Beberapa pagi yang redup dengan matahari yang seakan mahu terus bersembunyi. dan ia merupakan petanda yang kita hampir ditinggalkan. dan kita akan merindu lagi dan sangat mendoakan ada pertemuan sekian kalinya pada tahun hadapan"...getus hati kecil saat merenung hamparan mega sirrus di langit. ya, itulah getusan di saat kumembilang hari-hari terkahir Ramadhan. pemergian yang ku tidak tahu akan kembali lagi, yang ku mampu hanya meneruskan perjalanan dengan kaki kecil. ya, ia seperti sahabat baik yang luhur kasihnya. Kubelajar untuk berdoa agar diberi kecukupan. ia turut bermakna kecukupan yang dipelihara hingga diriku dipanggil pulang. ya, dalam sujud panjang, ku mula meminta agar Allah mencukupkan kepercayaanku itu, memelihara kebaikan yang cuba kulakukan hingga titik akhir tiba, meskipun ku masih berhadapan dengan banyak sandungan dan gendala. kini penantiannya sudah berbaki dua bulan lebih. sudah lebih dua dekad diizinkan Tuhan merasai sahabat baik itu hadir dan pergi. ya, moga diizinkan lagi bertemu kali ini untuk menghayati taksonomimu yang mungkin kucicirkan tanpa sedar dek sergahan kealpaan di masa-masa yang lepas.

Narasi 2 April 2014
Perbukitan Kolej Ibrahim Yaakub,
Universiti Kebangsaan Malaysia.