Peristiwa kematian kecil malam semalam masih mengundang rasian yang sama. Rasian yang merambat satu per satu umpama putaran stroboskop yang divariasikan bilangan celahnya. Pecahan pentas rasian itu bergentayangan secara ketidakterhinggaan lalu merca sebagai sebuah Pangae. Di manakah saya ketika ini? Dataran luas terbentang itu kemudiannya seolah-olah mencair, memuncakkan kebuncahan dalam sisa-sisa atma yang masih terkandung ini. Sepertinya saya sedang menyusur di udara, seolah-olah dituntun oleh sang angin pengarak pagi yang menghembus silir-semilir, membawa saya mengekori arah cairan yang masih beraksi. Sekonyong-konyong sahaja latar di sekeliling saya menjadi seakan sebuah perlak riparia dan membentuk tebing yang masih berbalam. Pohon-pohon Syzygium yang muncul di eksposisinya kelihatan tidak membugar. Lesu tanpa pengujaan tenaga. Saya hanya mampu mendengus dan menarik muka dua belas. "Bahana empangan itulah!" Sisa-sisa atma masih mampu memberontak. Namun, pohon-pohon selepasnya kelihatan subur dan menyergah. Hijau Barringtonia acutangula, Xanthophyllum glaucum dan Donax arundastrum mengening segar. Keralitan saya itu ternyata tidak panjang. Angin pengarak pagi tidak lagi menampung saya lalu lemas di dalam ketidakselanjaran cairan yang membuak likat dari bawah. Lantas saya terjaga sambil termengah-mengah. Sesekali terdengar bariton Run Away dendangan pelatun muda negara kolonial, Sam Taylor dari tetuak telinga yang tidak dimatikan di atas meja, meyakinkan saya telah kembali menjengah ke alam realiti. Ah, betapa malangnya engkau wahai Chini. Semuanya natijah daripada kerakusan tangan-tangan manusia yang tidak berfikir panjang, hanya menurut nafsu semata. Akan saya usahakan regenerasi mu. Semoga segalanya dipermudahkan oleh Tuhan.
Narasi 19 Mei 2014
Perbukitan Kolej Ibrahim Yaakub,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
No comments:
Post a Comment