Pada malam-malam Ramadhan yang lalu, usai sahaja berterawih dan witir, saya gemar menghabiskan masa menelaah makalah untuk menyempurnakan penulisan disertasi yang saya kira masih kelihatan kelompangan isi apatah lagi dari aspek analisisnya yang masih berbekalkan paparan data mentah. Mengimbangi tekanan yang menyelubung ketika itu, gelintar kawalan anjakan impuls merentas bebulir mielin dan nodus-nodus Ranvier akhirnya menemukan saya dengan video di atas. Ya, beliau ialah Mas'ud Kurtis, kelahiran Skopje bumi Macedonia yang berketurunan Albania dan Turki. Bernaung di bawah label Awakening Records bersama Maher Zain, Hamza Nemira, Irfan Makki, Raef dan lain-lain, ternyata vokalnya mengunjurkan kelainan yang lebih tenang untuk didengar dan dihayati, lebih-lebih lagi untuk lagu di atas (Rouhi Fidak: My Soul, I Would Sacrifice For You). Ya, selain melodi dan kelunakan latunan vokal, pelbagai ibrah yang dapat dipencilkan daripada lagu ini. Antaranya ialah, menghambat kesenangan dunia semata-mata tidak pernah mengekstrapolasikan ketenangan rohani di dalam diri seorang insan. Sebaliknya hati seorang insan hanya menjadi regresif, tidak berkadar langsung dengan keamatan jasmani dan duniawi yang dikecapinya. Hanya dengan kembali mentaati perintah Allah dan Rasulullah dapat mengembalikan sinar rohani yang mudah-mudahan diizinkan menjadi wahdah untuk terus melangkah di jalan yang lurus. Saya kira sehingga saat ini, sudah lebih dua puluh kali lagu ini dimainkan di dalam komputer riba saya. Melampaukah? Sengih sahajalah. :)
Secangkir foto beliau yang diambil dari laman sosial Facebook (https://www.facebook.com/MesutKurtis), sekadar paparan bagi mengakhiri ujana penulisan kali ini.